Wednesday, October 5, 2011

kawan-kawanku-lihatlah dunia-kosmo -5/10/2011

Roti tempatan, keghairahan Itali





BAGI Lai Fei Siong, 31, tanggungjawab menjaga seluruh proses pembuatan roti bermula sejak pukul 8 pagi. Namun dia selalunya tiba lebih awal di Taman Perindustrian Pulau Indah di Pelabuhan Klang untuk mendaftar masuk tugas di kilang pembuatan roti, The Italian Baker.
“Kilang ini direka untuk beroperasi 24 jam. Namun, buat masa ini kami hanya beroperasi untuk tempoh terhad. Namun, saya akan berada di kilang pada bila-bila masa diperlukan.
“Ini kerana saya perlu memastikan setiap prosedur pemprosesan makanan berjalan lancar bagi memastikan roti ini sampai di meja sarapan pengguna.
“Ia satu tanggungjawab yang besar,” kata penyelia bakeri itu yang mengakui dirinya menggemari suasana kerja berasaskan makanan, khususnya roti.
Lai Feng memberitahu, terdapat 10 bahagian utama di kilang tersebut, bermula dengan bahagian pemprosesan roti sandwic Masimmo dan ban Duetto.


ROTI-ROTI ini melalui proses penyejukan sebelum ia dipotong dan dibungkus.


Gedung pemprosesan itu juga menempatkan ruang pejabat pemasaran, jualan, pembuatan, pergudangan, kejuruteraan, kualiti, penyelidikan dan pembangunan serta sumber manusia. Tidak terkecuali adalah bahagian pengedaran yang melibatkan lori-lori pengedaran.
Sesudah memberi penerangan asas, Fei Siong membawa masuk krew wartawan dan jurugambar ke dalam kilang dari ruang lobi yang juga menempatkan sebuah kafe roti The Italian Baker.
Walaupun proses pembuatan roti utama di kilang itu tidak melibatkan tenaga kerja manusia, pihak pengurusan tetap merekrut kira-kira 100 kakitangan untuk dibahagikan kepada dua hingga tiga syif kerja. Semua penjadualan syif itu dibuat untuk memastikan capaian pengeluaran yang lebih banyak, selari dengan faktor permintaan.
Dengan keluasan kilang sekitar 20,000 meter persegi, kilang The Italian Baker mula dibina pada tahun 2009 dan siap pada akhir tahun 2010.
“Operasi pemprosesan roti bermula pada awal tahun ini. Walaupun ia bukan dibuat di Itali, tetapi ia dihasilkan menggunakan keterujaan dan keghairahan pembuat roti di Itali!” kata-kata itu berulang kali diucapkan oleh Pengurus Besar The Italian Baker, Jimmy Chang Gee Sing ketika berada di ruang lawatan bercermin di kilang itu.
Roti dan ban


SEORANG pekerja bahagian bakeri memantau adunan doh sebelum dihantar untuk proses pembahagian.


Walaupun tidak dapat melihat secara dekat dan langsung proses pembuatan roti di The Italian Baker atas sebab kebersihan dan kesihatan, pelawaan ke sebuah bilik bercermin tetap memberikan suasana komprehensif.
Krew Kosmo! bukan sahaja dapat menyaksikan proses pembuatan roti dan ban dari dalam ruang berhawa dingin, malah dari sudut pandangan atas yang menunjukkan keseluruhan suasana operasi kilang.
“Di sebelah kanan anda ialah bahagian pemprosesan roti sandwic Massimo dan di sebelah kiri anda ialah ban berkrim Duetto. Pemprosesan kedua-dua roti sedikit berbeza dan masing-masing memerlukan kaedah, masa serta pembungkusan berlainan,” ujar Fei Siong.
Walau bagaimanapun, secara asasnya, setiap pemprosesan pembuatan bermula dengan penimbangan berat kandungan, pengadunan doh, pemisahan doh mengikut saiz, membakar doh, penyejukan dan akhir sekali pembungkusan.


DARI KIRI: Fei Siong, JImmy dan Pengurus Bahagian The Italian Baker, Eric Ong Poh Choy, menunjukkan produk yang menjadi kebanggaan mereka.


Di antara segmen kerja tersebut, beberapa kakitangan ditempatkan untuk memeriksa berat dan ketinggian roti. Mereka juga bertanggungjawab membuat pemeriksaan berkala bagi mengesan sekiranya terdapat pencemaran kandungan logam dalam roti.
Lazimnya, sebuku roti sandwic mengambil masa tiga jam untuk dihasilkan. Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna pihak pengilang memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan sejumlah roti yang banyak.
Kecekapan mesin pembuat roti yang diimport dari Eropah dan Amerika di kilang itu mampu menyiapkan roti dalam jumlah yang besar, iaitu 10,000 buku roti sandwic sejam dan 24,000 biji ban setiap jam.


DOH yang siap diadun dengan bahan mentah akan difermentasi selama empat jam sebelum dihantar ke ketuhar untuk proses membakar.


“The Italian Baker menghasilkan 40,000 buku roti sandwic Massimo dan 24,000 ban Duetto sehari. Ini angka permulaan kerana kami hanya beroperasi pada syif yang terhad iaitu 12 jam sehari dan ia mungkin dikembangkan mengikut permintaan pada masa hadapan kelak,” ujar Fei Siong sambil menunjukkan barisan roti Massimo yang tersusun di atas dulang berputar untuk proses penyejukan.
Di atas dulang berputar itu sahaja terdapat 10,000 buku roti. Semua roti itu menunggu masa untuk dihantar ke empat buah mesin pemotongan dan pembungkusan roti. Bagi roti ban Duetto pula, mesin yang hampir serupa menjalankan ‘tugas’ meletakkan krim sebelum pembungkusan.
Memulakan operasi pembuatan roti pada 21 Mac lalu, The Italian Baker, menurut Jimmy Chang telah membabitkan pelaburan sebanyak RM120 juta dengan keutamaan diberikan kepada mesin-mesin yang diimport dari Amerika dan Eropah.
Selaku syarikat subsidiari Federal Flour Mill (FFM), yang lokasi kilangnya juga bertempat di Pulau Indah, Jimmy mengakui pihaknya mudah mendapat bekalan bahan mentah.
“Jadi, kami bukan sahaja menjimatkan masa dari segi pengangkutan, malah dapat memberikan harga roti yang lebih murah kerana dapat menjimatkan kos logistik dan bahan mentah tersebut,” katanya.






Jangan ikut sangat

Advertisements

anak-anak cik ina